USTAZ FARID RAVI BIN ABDULLAH
USTAZAH AFIFAH ABAS

Hadis-hadis Sahih berkaitan dengan Solat Terawih
Dari Bab Kelebihan Mengimarahkan Ramadhan
Dari Kitab Solat Terawih dalam Sahih al-Bukhari
بسم الله الرحمن الرحيم
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ".
Dari Abu Hurayrah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mengimarahkan Ramadhan (iaitu dengan beribadat) dengan perasaan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah semata-mata (bukan kerana riya’ atau ingin menunjuk-nunjuk) nescaya akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.
- Jilid 4, m/s: 778, bilangan hadis: 2009.
عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ، إِلَى الْمَسْجِدِ، فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ، وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ. ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ، ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى، وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ، قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ، وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنَ الَّتِي يَقُومُونَ. يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ، وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ.
Dari ‘Urwah bin Zubayr r.a., dari Abdul Rahman bin Abdul Qari r.a., sesungguhnya dia telah berkata: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, aku telah keluar bersama Umar bin al-Khattab r.a. ke masjid, kelihatan orang ramai berada dalam pelbagai kumpulan, ada seorang lelaki solat bersendirian manakala seorang lelaki lain mengimamkan sekumpulan jemaah solat. Maka Umar berkata: Aku berpendapat jika aku dapat menyatukan mereka di bawah satu imam adalah lebih baik (daripada berselerak begini). Lalu beliau meneruskan nekadnya dengan menghimpunkan ahli jemaah solat diimamkan oleh Ubay bin Ka’ab (kerana beliau adalah antara yang paling layak dek status bacaan al-Qur’annya yang diiktiraf oleh Nabi s.a.w.). Kemudian aku (Abdul Rahman bin Abdul Qari r.a.) keluar pula sekali lagi dengan Umar pada malam yang lain sementara orang ramai sedang mengikuti imam (bersolat terawih). Lantas Umar berkata: Betapa bagusnya idea pembaharuan ini. Tapi sebenarnya orang yang bertahajjud di akhir malam itu adalah lebih baik (daripada beribadat pada awal malam kemudian mengisi akhir malam dengan tidur). - Jilid 4, m/s: 778, bilangan hadis: 2010.
عَنْ عُرْوَةُ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ، فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ، وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ، فَصَلَّوْا مَعَهُ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى، فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ، حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ، فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: "أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَىَّ مَكَانُكُمْ، وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا". فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ.
Dari ‘Urwah r.a. bahawa Aisyah r.a. telah memberitahunya bahawasanya pada suatu malam, Rasullah s.a.w. telah keluar sedangkan malam telah larut , kemudian baginda bersolat di masjid, lalu sekumpulan jemaah lelaki turut bersolat dengan baginda. Apabila pagi, orang ramai heboh memperkatakan tentang solat itu, maka bertambah ramai ikut bersolat (dengan baginda). Perkara itu diperkatakan lagi pada pagi kedua sehingga bertambah ramai jemaah yang ikut bersolat bersama baginda pada malam ketiga. Pada malam keempat, masjid menjadi terlalu penuh sehingga tidak mampu menampung jemaah lagi, namun Rasulullah tidak keluar bersolat (seperti malam-malan sebelumnya) sehinggalah baginda keluar untuk solat Subuh. Setelah selesai menunaikan solat fardhu Subuh, baginda berhadapan dengan jemaahnya, baginda bertashahhud (menyebut lafaz syahadah: Ashadu an la ilaha illallah wa ashadu anna muhammadar rasulullah) kemudian bersabda: Begini, sesungguhnya situasi kamu (tertanya-tanya mengenai ketidakhadiran Nabi semalam) tidaklah terselindung (dari pengetahuanku), hanyasanya aku bimbang ia akan difardhukan ke atas kamu padahal kamu tidak mampu melakukannya. Setelah Nabi wafat kemudiannya pun, begitulah keadaannya (dengan hukum Solat Terawih). - Jilid 4, m/s: 779, bilangan hadis: 2012.
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا: كَيْفَ كَانَتْ صَلاَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ؟ فَقَالَتْ: مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ، وَلاَ فِي غَيْرِهَا عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ؟ قَالَ: "يَا عَائِشَةُ، إِنَّ عَيْنَىَّ تَنَامَانِ وَلاَ يَنَامُ قَلْبِي".
Dari Abu Salmah bin Abdul Rahman bahawasanya dia ada bertanyakan Aisyah r.a.: Bagaimanakah solat Nabi s.a.w. pada bulan Ramadhan? Aisyah berkata: Baginda tidak menambah apa-apa pada bulan Ramadhan kecuali 11 rakaat, baginda solat 4 rakaat – tidak perlu ditanya betapa bagus dan panjangnya sifat solat itu. Kemudian baginda solat 4 rakaat lagi dengan sifat yang sama. Kemudian baginda solat 3 rakaat pula. Maka aku berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, adakah tuan akan tidur sebelum melakukan solat witir? Baginda bersabda: Wahai Aisyah, hanya mataku yang lelap namun hatiku tidak pernah tidur. - Jilid 4, m/s: 779, bilangan hadis: 2013.
[Sumber: al-‘Asqalani al-Kan’ani, Ibnu Hajar, Shihabuddin, al-Shafi’i, Abu Fadhl, Ahmad bin Ali bin Hajar (773 – 852H). Dianalisa oleh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz. (1986M/1406H). Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari. (Ed. 1). Beirut: Darul Fikr.]
No comments:
Post a Comment