Monday, November 2, 2009

Anjuran Memberi Sedekah



Oleh : Mohd Norzi Nasir

UMAT Islam juga amat dianjur membanyakkan amalan bersedekah dalam bulan Ramadan. Banyak hadis Rasulullah yang membicarakan tentang anjuran dan kelebihan bersedekah.

Antaranya, sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa ditulis baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa berkurang walaupun sedikit". (riwayat Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. a menyatakan bahawa: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulullah, Sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Rasulullah bersabda: "Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata: Harta ini untuk si pulan, harta ini untuk si pulan, padahal harta engkau itu memang akan diwarisi (dimiliki) oleh orang lain. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: Ya Allah, berikanlah ganti (kembangkanlah harta) bagi orang-orang yang berinfak (menghulurkan sedekah) dan satu yang lain pula berdoa, "Ya Allah, binasakanlah harta orang-orang yang kikir (kedekut). (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Hakim ibn Hizam r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya. (riwayat al-Bukhari)

Konsep penghayatan Ramadan sebenar

Mutakhir ini manusia bergembira dengan kedatangan bulan puasa, mereka memperolehi pada bulan Ramadan kebaikan dan keberkatan. Namun amat sedikit mereka yang melaksanakan puasa menurut cara yang diredai Allah SWT menerimanya dengan penuh ketaatan, tekun beribadah dan menunaikan kewajipan yang ditaklifkan ke atas diri masing-masing.

Terkadang pelbagai bentuk perilaku yang ditegah oleh agama sengaja dilakukan dalam bulan Ramadan, seperti membazir, melalaikan solat, melayani program-program televisyen yang melalaikan, menghabiskan waktu dengan melepak di jalanan. Semua perlakuan ini dilakukan dengan alasan kerana letih sambil menunggu waktu berbuka.

Seringkali perasaan malas segera menyelinap masuk bagi setiap diri yang enggan menahan rasa payah dan penat selama berpuasa. Pelbagai alasan dijadikan sandaran bahawa puasa sering dikaitkan atau sinonim dengan istirehat, sehingga membawa kesan negatif kepada produktiviti kerja yang cenderung menurun dan pudar.

Menolak pelbagai alasan negatif di atas, madrasah Ramadan sebaliknya mendidik kita untuk mampu lebih survival dan lebih memiliki semangat juang dan daya tahan fizikal dan mental yang kuat. Allah SWT memerintahkan puasa untuk menguji manakah kalangan hambanya mencapai tingkat takwa.

Abu Hamid al-Ghazali berkata, Ramadan itu mempunyai tiga darjat: Pertama, puasa umum iaitu puasa menahan diri daripada syahwat.

Kedua, puasa khusus iaitu puasa menahan pendengaran, penglihatan, tangan lidah dan semua anggota daripada dosa.

Manakala ketiga, puasa khawas al-khawas iaitu puasa hati dari mengejar perkara yang keji dan memikirkan tentang perkara duniawi serta menjaga seluruh anggota dari segala bentuk dosa. Puasa yang ketiga inilah (khawas al-khawas) merupakan puasa hamba-hamba yang soleh.

Mereka menjaga penglihatan dari perkara yang dibenci Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Pandangan itu merupakan panahan daripada panah-panah iblis la'natullah, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakannya keimanan dan merasai kemanisan iman didalam hatinya. (riwayat al-Bukhari)

Mereka menjaga lidah daripada berkata dusta, ghibah, mengadu-domba dengan sentiasa mengingati Allah SWT, membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah dia berkata keji , jika ada yang memeranginya atau mencercanya maka katakanlah: Aku sedang berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mereka menjaga pendengaran dari perkara yang dibenci Allah SWT seperti mendengar perkara yang dusta. Justeru Allah SWT meletakkan kedudukan yang sama bagi pendengar kata dusta dan golongan yang suka memakan segala yang haram.

Firman Allah yang bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). (al-Maidah: 42)

Mereka menjaga seluruh anggota tubuh badan seperti tangan, kaki dan perut daripada perkara yang larang. Tidak memperbanyakkan hidangan atau juadah berbuka puasa sehingga menyebabkan berlaku pembaziran. Tidak memakan hidangan yang syubhat dan haram ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barangkali di kalangan hamba yang berpuasa tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada puasanya melainkan semata-mata lapar, dan barangkali di kalangan hamba yang melakukan qiam (qiamulail) tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada qiamnya melainkan berjaga malam semata-mata. (riwayat Ibn Majah)

Kalangan ulama berpendapat bahawa golongan yang dimaksudkan melalui hadis ini ialah pertama, iaitu orang yang berpuasa tetapi berbuka dengan makanan yang haram.

Kedua, orang yang menahan dari makanan yang halal dan berbuka dengan ghibah (memakan daging saudaranya) yang diharamkan.

Ketiga, orang yang tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan segala bentuk dosa. (al-Ghazali: Ihya' 'Ulum al-din)

Sesungguhnya, detik Ramadan apabila dijalani dengan penuh takwa, sabar di samping kerendahan hati mampu menyingkap hijab ketinggian hati dan kesombongan sehingga seorang Muslim akan mampu menerima segala tuntunan dan tuntutan agama ini dengan hati yang lapang.

Setiap amal kebaikan seorang Muslim selain puasa akan dibalas dengan ganjaran kebaikan yang tertentu dan setimpal. Adapun amalan puasa, tidak diketahui ganjarannya kecuali Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah baginya melainkan puasa kerana puasa hanya untukKu, dan Akulah yang akan memberikan pahalanya. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya peluang Ramadan dan pintu angan-angan dibukakan kesekian kalinya bagi ahli kubur, nescaya mereka meronta-ronta untuk hidup kembali meskipun hanya untuk sehari di bulan Ramadan.

Mereka mengimpikan rahmat Allah SWT, ingin kembali memperbaiki dan menampung ruang-ruang yang amalan yang cacat, menghidupkan siangnya dengan membaca al-Quran, menambah iman, menghidupkan malamnya dengan ibadah solat-solat sunat, berdoa, menangis, merintih memohon keampunan dan kebebasan dari neraka.

Di manakah hambanya yang mendambakan cinta Allah? Di manakah hamba yang ingin membersihkan hati? Di manakah hamba yang ingin kerehatan hati dan ketenangan fikiran?

Di manakah hamba yang ingin memperbaiki produktiviti amalannya? Di manakah hamba yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat?

Wahai hati-hati yang sering lalai dan alpa, sesungguhnya peluang taubat bagimu terbentang luas. Di Ramadan ini Allah SWT sentiasa memanggil dan menghamparkan keampunan buat sekalian hambanya atas setiap dosa siang dan malamnya. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Musa r.a Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu malam bagi pelaku kejahatan di siang hari, menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu siang bagi pelaku kejahatan di malam hari sehingga terbit matahari dari sebelah barat. (riwayat al-Imam Muslim)

Allah SWT juga menyiapkan pintu khusus iaitu al-Rayyan bagi orang yang berpuasa untuk masuk syurga-Nya pada hari kiamat kelak.

Pendek kata sebagai kesimpulan renungan, apakah Ramadan yang bakal dijalani selama tempoh sebulan melalui tarbiyah intensif ini bakal menjanjikan satu transformasi positif dalam menghayati erti kata Ramadan yang sebenar atau sebaliknya?

Rebutlah peluang beribadah dan bertaubat menyesali setiap kesilapan selama Ramadan dan lentera keampunan Allah SWT terbuka luas, selama jantung berdegup.

Monday, September 14, 2009

Soal Jawab tentang Hadis Palsu - Fadilat Solat Terawih

Oleh : ustaz Farid Ravi Abdullah (Pengarah Institut Kajian hadis Selangor)
Soalan:

Ustaz,
Saya ada menerima edaran risalah hadis fadilat harian Solat Terawih riwayat Saidina Ali selepas bersolat terawih di masjid karyah saya. Adakah ia hadis yang benar?
- Staf TNB

Jawapan:

Berdasarkan kajian yang dijalankan, hadis ini tidak terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah (Buku yang Enam) yang merupakan buku-buku rujukan hadis paling utama. Ia terdiri daripada al-Sahihan (Buku Sahih yang Dua) iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim pada kelas yang pertama. Manakala baki empat buku lagi dipanggil al-Sunan al-Arba’ah (Buku Sunnah yang Empat) yang terdiri daripada Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa’i (yang diberi nama al-Mujtaba) dan Sunan Ibnu Majah. Malah tidak juga terdapat dalam Muwatta’ Imam Malik, Sunan al-Darimi, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal atau Mustadrak al-Hakim. Malah satu cakera padat umpama perpustakaan bergerak tentang hadis seperti Maktabah Shamilah dan Sunnah Alfiyyah pun gagal menjejak hadis ini, hatta dalam buku-buku yang menyenaraikan hadis-hadis palsu. Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, ia terpaksa digolongkan dalam hadis yang tidak berasas (la asla la hu).

Apabila sesuatu hadis itu dilabelkan demikian maka ia adalah hadis yang palsu, baru diada-adakan dan haram hukumnya berpegang kepada, mempercayai apalagi menyebarkannya berdasarkan satu hadis mutawatir yang paling masyhur dalam bidang hadis: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka dia telah menempah tempatnya di neraka.” [Sumber: Sahih al-Bukhari (1/52) dan Sahih Muslim (1/7), Sunan Abu Daud (3/357), Sunan al-Tirmidzi (5/35),Sunan al-Nasa’i (3/457), Sunan Ibnu Majah (1/13), dan Sunan al-Darimi (1/87)] Malahan ia tersenarai sebagai 1 daripada 70 dosa besar dalam Islam - berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Antara ciri-ciri hadis palsu ialah:
1. Tidak terdapat hukum sedemikian di dalam Fekah Islam yang diketahui
2. Hadis itu bertentangan dengan al-Qur’an atau kaedah-kaedah agama yang diketahui
3. Hadis itu bertentangan dengan hadis lain yang lebih tinggi status sahih dan penerimaannya dalam ilmu Islam
4. Hadis itu bertentangan dengan ijma’ ulama
5. Hadis itu tidak terdapat dalam buku-buku kompilasi hadis yang mu’tabar – contoh yang jelas ialah seperti hadis yang ditanya oleh soalan ini.
6. Terdapat lafaz dan makna yang janggal jika dibandingkan dengan kefasihan dan keindahan untaian kata hadis-hadis sebenar daripada Rasulullah s.a.w.
7. Terdapat perkara-perkara yang melampau sifatnya di dalam hadis
8. Perawi mengaku dia mengada-adakan hadis palsu untuk tujuan tertentu seperti untuk mendapatkan sokongan orang-orang atasan dan seumpamanya.


Menurut Imam al-Nawawi hukumnya haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya mengesyakki hadis itu maudhu`. Tiada perbezaan status hukum haram itu di antara hadis yang berkaitan dengan hukum-hukum atau selainnya seperti hadis-hadis targhib untuk memotivasikan orang ramai beribadat atau tarhib untuk menakut-nakutkan mereka terhadap maksiat atau dosa sekalipun atas tujuan nasihat. Di dalam asas Fekah Islam, niat tidak menghalalkan cara. Maka kita perlu berhati-hati dalam merealisasikan praktik ajaran Islam agar niat yang murni itu tidak menjerumuskan kita kepada perbuatan yang mengakibatkan dosa pula. Oleh sebab itulah, al-Qur’an sering menyebut perkataan ‘iman’ dahulu kemudian digandingkan dengan kalimah ‘amal’ bagi mengisyaratkan bahawa sebagai penganut Islam, kita mesti berilmu dahulu sebelum beramal bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku.

Friday, September 11, 2009

HADIS SAHIH TENTANG TERAWIKH

Oleh :
USTAZ FARID RAVI BIN ABDULLAH
USTAZAH AFIFAH ABAS



Hadis-hadis Sahih berkaitan dengan Solat Terawih
Dari Bab Kelebihan Mengimarahkan Ramadhan
Dari Kitab Solat Terawih dalam Sahih al-Bukhari
بسم الله الرحمن الرحيم

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ‏"مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ‏"‏‏.‏
Dari Abu Hurayrah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mengimarahkan Ramadhan (iaitu dengan beribadat) dengan perasaan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah semata-mata (bukan kerana riya’ atau ingin menunjuk-nunjuk) nescaya akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.
- Jilid 4, m/s: 778, bilangan hadis: 2009.

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ، إِلَى الْمَسْجِدِ، فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ، وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ‏.‏ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ، ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى، وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ، قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ، وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنَ الَّتِي يَقُومُونَ‏.‏ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ، وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ‏.‏
Dari ‘Urwah bin Zubayr r.a., dari Abdul Rahman bin Abdul Qari r.a., sesungguhnya dia telah berkata: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, aku telah keluar bersama Umar bin al-Khattab r.a. ke masjid, kelihatan orang ramai berada dalam pelbagai kumpulan, ada seorang lelaki solat bersendirian manakala seorang lelaki lain mengimamkan sekumpulan jemaah solat. Maka Umar berkata: Aku berpendapat jika aku dapat menyatukan mereka di bawah satu imam adalah lebih baik (daripada berselerak begini). Lalu beliau meneruskan nekadnya dengan menghimpunkan ahli jemaah solat diimamkan oleh Ubay bin Ka’ab (kerana beliau adalah antara yang paling layak dek status bacaan al-Qur’annya yang diiktiraf oleh Nabi s.a.w.). Kemudian aku (Abdul Rahman bin Abdul Qari r.a.) keluar pula sekali lagi dengan Umar pada malam yang lain sementara orang ramai sedang mengikuti imam (bersolat terawih). Lantas Umar berkata: Betapa bagusnya idea pembaharuan ini. Tapi sebenarnya orang yang bertahajjud di akhir malam itu adalah lebih baik (daripada beribadat pada awal malam kemudian mengisi akhir malam dengan tidur). - Jilid 4, m/s: 778, bilangan hadis: 2010.

عَنْ عُرْوَةُ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ، فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ، وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ، فَصَلَّوْا مَعَهُ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا، فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ، فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى، فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ، حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ، فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: ‏"أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَىَّ مَكَانُكُمْ، وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا‏"‏‏.‏ فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ.
Dari ‘Urwah r.a. bahawa Aisyah r.a. telah memberitahunya bahawasanya pada suatu malam, Rasullah s.a.w. telah keluar sedangkan malam telah larut , kemudian baginda bersolat di masjid, lalu sekumpulan jemaah lelaki turut bersolat dengan baginda. Apabila pagi, orang ramai heboh memperkatakan tentang solat itu, maka bertambah ramai ikut bersolat (dengan baginda). Perkara itu diperkatakan lagi pada pagi kedua sehingga bertambah ramai jemaah yang ikut bersolat bersama baginda pada malam ketiga. Pada malam keempat, masjid menjadi terlalu penuh sehingga tidak mampu menampung jemaah lagi, namun Rasulullah tidak keluar bersolat (seperti malam-malan sebelumnya) sehinggalah baginda keluar untuk solat Subuh. Setelah selesai menunaikan solat fardhu Subuh, baginda berhadapan dengan jemaahnya, baginda bertashahhud (menyebut lafaz syahadah: Ashadu an la ilaha illallah wa ashadu anna muhammadar rasulullah) kemudian bersabda: Begini, sesungguhnya situasi kamu (tertanya-tanya mengenai ketidakhadiran Nabi semalam) tidaklah terselindung (dari pengetahuanku), hanyasanya aku bimbang ia akan difardhukan ke atas kamu padahal kamu tidak mampu melakukannya. Setelah Nabi wafat kemudiannya pun, begitulah keadaannya (dengan hukum Solat Terawih). - Jilid 4, m/s: 779, bilangan hadis: 2012.

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهَا: كَيْفَ كَانَتْ صَلاَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ؟ فَقَالَتْ: مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ، وَلاَ فِي غَيْرِهَا عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا‏.‏ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ؟ قَالَ: ‏"يَا عَائِشَةُ، إِنَّ عَيْنَىَّ تَنَامَانِ وَلاَ يَنَامُ قَلْبِي‏"‏‏.
Dari Abu Salmah bin Abdul Rahman bahawasanya dia ada bertanyakan Aisyah r.a.: Bagaimanakah solat Nabi s.a.w. pada bulan Ramadhan? Aisyah berkata: Baginda tidak menambah apa-apa pada bulan Ramadhan kecuali 11 rakaat, baginda solat 4 rakaat – tidak perlu ditanya betapa bagus dan panjangnya sifat solat itu. Kemudian baginda solat 4 rakaat lagi dengan sifat yang sama. Kemudian baginda solat 3 rakaat pula. Maka aku berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, adakah tuan akan tidur sebelum melakukan solat witir? Baginda bersabda: Wahai Aisyah, hanya mataku yang lelap namun hatiku tidak pernah tidur. - Jilid 4, m/s: 779, bilangan hadis: 2013.


[Sumber: al-‘Asqalani al-Kan’ani, Ibnu Hajar, Shihabuddin, al-Shafi’i, Abu Fadhl, Ahmad bin Ali bin Hajar (773 – 852H). Dianalisa oleh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz. (1986M/1406H). Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari. (Ed. 1). Beirut: Darul Fikr.]

Sunday, August 16, 2009

Sekitar Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kemahiran Al-Quran (Maldives di INHAD)

Oleh : Afifah Abas & Norlaili Mohamad Rahman
Kursus Kemahiran Bertarannum Al-Quran
Pegawai Agama Republik Maldives
(6 Julai – 6 Ogos 2009 )

Kursus Kemahiran Bertarannum Al-Quran ini adalah anjuran bersama di antara KUISCELL, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kementerian Hal Ehwal Islam Republik Maldives dengan kerjasama pihak Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) yang menyediakan fasiliti tempat dan alat-alat Pengajaran dan Pembelajaran (PNP) seperti projektor LCD, televisyen plasma, laptop, dan pembesar suara di perpustakaannya selama lebih kurang sebulan kursus berlangsung (114 jam). Terdapat seramai 25 orang Pegawai Agama dari Republik Maldives; 20 orang lelaki dan 5 orang perempuan menyertai kursus tersebut. Kebanyakan mereka terdiri daripada guru-guru matapelajaran kemahiran membaca al-Qur’an peringkat sekolah rendah di negara mereka.
Kursus Kemahiran Bertarannum ini telah berjalan dengan jayanya seperti yang telah direncanakan oleh pihak KUISCELL berdasarkan silabus dan modul-modul yang telah ditetapkan berobjektifkan pendedahan kepada 7 jenis bacaan tarannum yang biasa diajarkan di Malaysia iaitu Bayati, Husayni, Nahwand, Hijaz, Saba, Rast, dan Jaharkah. Kursus dimulakan dengan aspek sejarah ilmu tarannum. Mereka juga diperkenalkan dengan ilmu suara (fonologi) seperti sifat-sifat suara, tabaqat atau tahap-tahap suara: suara dada, kerongkong, hidung, dan otak; dan peranan suara. Namun peserta juga perlu mengetahui istilah-istilah ilmu tarannum seperti harakat, mahthah, qit’ah dan burdah bagi melicinkan proses pembelajaran ini. Apa yang lebih penting ialah penguasaan ilmu tajwid yang baik untuk menyempurnakan bacaaan al-Qur’an al-Karim.
Seramai 6 orang tenaga pengajar terlibat memahirkan delegasi ini membaca al-Qur’an terutamanya dari segi tarannum; mereka ialah:

1) Ustaz Mohd Radhi Mohd Rejab (Tarannum)
2) Professor Madya Dr. Mohd. Nur Manutty (Tafsir al-Qur’an)
3) Ustaz Mohd Farid Ravi b. Abdullah aka Pengarah INHAD (Ulum al-Qur’an)
4) Ustaz Mohd Ikmal Zaidi (Tarannum)
5) Ustaz Imran Kamal Basha (Tajwid)
6) Ustaz Syuhada’ (Guru Ganti)

Di samping serius berkursus, mereka juga berpeluang menikmati aktiviti-aktiviti santai pada hujung minggu atau waktu malam seperti mengikuti lawatan ke Putrajaya, Nilai 3, Muzium Seni Islam dan Menara Berkembar KLCC. Makanan juga disediakan 4 kali sehari oleh pihak penganjur. Mereka kemudiannya diraikan dalam satu majlis makan malam di KUIS bersama barisan pentadbir. Sebelum kursus berakhir, penilaian terhadap pencapaian mereka dilakukan untuk melayakkan mereka mendapat sijil kursus. Majoriti peserta menyatakan rasa seronok mereka mempelajari kemahiran bertarannum ini. Mereka juga menunjukkan minat yang mendalam dan tekun berlatih memahirkan diri. Diharapkan semoga lebih banyak lagi program-program seumpama ini akan diadakan untuk manfaat bersama umat Islam sama ada untuk orang-orang tempatan atau dari luar negara.



KETUA DELEGASI DARI MALDIVES MEMPERDENGARKAN BACAAN AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN PADA MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL KURSUS KEMAHIRAN TARANNUM AL-QURAN.



PARA PESERTA BERGAMBAR BERSAMA-SAMA DENGAN PARA PENGAJAR KURSUS KEMAHIRAN TARANNUM AL-QURAN.

BARAKALLAHU FIKUM ILAL LIQA'=)

Wednesday, August 5, 2009

KEPERIBADIAN AHLI HADIS

OLEH : MOHD NORZI NASIR (PEGAWAI PENYELIDIK INHAD)

DITERBITKAN : UTUSAN MALAYSIA (RUANGAN BICARA AGAMA) PADA 6 OGOS 2009



KELAHIRAN dan kebangkitan para ulama hadis sepanjang zaman merupakan satu kurniaan luar biasa daripada Allah SWT. Sumbangan tidak ternilai mereka berupa penyusunan pelbagai kaedah dan metod dalam ilmu hadis telah berjaya dijadikan garis panduan dan digunakan secara ilmiah untuk meneliti kesahihan sesebuah hadis.

Usaha yang disumbangkan oleh para ulama melalui karya-karya agung secara tidak langsung adalah bukti mereka mempertahankan kredibiliti Rasulullah SAW sebagai penyampai wahyu Allah melalui lidah, perbuatan dan pengakuan, para sahabat selaku generasi pertama yang mengambil periwayatan daripada baginda.

Semua gerak kerja yang dilakukan oleh para ulama hadis adalah demi mempertahankan hadis-hadis Rasulullah SAW daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam.

Meneladani dan mengetahui visualisasi sebenar keperibadian ahli hadis merupakan tuntutan dalam usaha melahirkan generasi al-hadis ke arah meniti kegemilangan ummah pada masa hadapan.

Ahli hadis merupakan generasi yang memiliki tingkat kepercayaan yang paling tinggi dalam meyakini manhaj Rasulullah SAW, berjalan di atas manhaj atau jalan yang ditempuh oleh para sahabat Rasulullah SAW, para tabien dan tabi’ altabien.

Mereka juga merupakan kadir-kadir yang tetap di atas perkara yang asas dalam agama dan cabangnya sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah (al-Quran) dan janganlah berpecah-belah. (ali-‘Imran: 103)

Menurut al-Sabuni, “Ahli hadis meneladani Nabi dan para sahabatnya. Mereka meneladani generasi salaf yang saleh dari para imam dan para ulama kaum muslimin. Mereka berpegang teguh kepada agama yang kukuh dan kebenaran yang pasti. Mereka membenci ahli-ahli bidaah yang sering mengada-adakan sesuatu dalam persoalan agama”. (Aqidah al-Salafi Ashab al-Hadis, hlm. 99-100)

Pujian ulama terhadap ahli hadis

Rasulullah SAW mendoakan secara khusus kepada sesiapa yang mempelajari hadis baginda SAW. Sabda baginda yang bermaksud: “Semoga Allah SWT memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaKu lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain”. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Hibban dalam Kitab Sahihnya)

Sufyan al-Thauri mengatakan: “Aku tidak mengetahui suatupun yang dipersembahkan kepada Allah SWT melebihi (daripada mempelajari dan mengajar) hadis”.

Imam al-Syafie berkata: “Kamu hendaklah bersama ashab al-hadis. Merekalah orang yang paling tepat”. Bahkan beliau pernah bersyair dengan maksud: “Ilmu yang sebenar ialah yang ada padanya haddasana. Dan yang tiada demikian (tiada sanad riwayat dan tiada asal daripada Nabi SAW), maka semua itu hanyalah bisikan syaitan”.

Al-Imam Ahmad ibn Hanbal: “Tidak ada satu kaum pun di sisiku yang lebih baik daripada ahli hadis”.

Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan: “Seandainya para ulama hadis tidak menjaga hadis-hadis, tidak mengumpulkannya, tidak mengeluarkan kefahaman daripadanya dan mengamati sanad-sanadnya, nescaya terbatallah syariat Islam dan hilanglah hukum hakamnya, kerana semuanya itu diambil daripada hadis-hadis yang dihafal (dan terjaga) dan diriwayatkan (oleh mereka)…”.

Membela sunnah Rasulullah SAW

Abu Hurairah r.a dan Kewibawaan Dalam Ilmu Hadis:

Beliau ialah Abu Hurairah al-Dawsi al-Yamani. Para ulama berselisih pendapat tentang nama beliau. Nama beliau dikatakan sebagai Abd. al-Rahman ibn Sakhar, atau ibn Ghunm, atau Abdullah ibn A’iz, Abd. Shams dan beberapa nama lain. Sewaktu zaman Jahiliah nama beliau dikatakan sebagai Abd. Syams.

Abu Hurairah memeluk Islam pada tahun 7H, tahun berlakunya peperangan Khaibar. Beliau memeluk Islam setelah mendengar dakwah dari Tufayl ibn Amr al-Dawsi yang pernah datang ke Madinah menghadap baginda SAW.

Abu Hurairah terkenal sebagai tokoh yang berpegang teguh pada sunnah Rasulullah dan sentiasa memberikan khidmat bakti kepada baginda. Sejak memeluk Islam, Abu Hurairah sering berdampingan dengan Rasulullah SAW.

Menurut Ajjaj al-Khatib, Abu Hurairah sering bersama Rasulullah dan mempunyai banyak kesempatan belajar serta menerima hadis berlainan dengan para sahabat yang sibuk menguruskan ladang-ladang, dagangan-dagangan dan yang membantu Rasulullah SAW dalam pertempuran dan pertahanan negara.

Abu Hurairah dianugerahkan hafalan yang kuat. Kekuatan hafalan beliau adalah sebagai satu bukti keberkatan doa baginda SAW. Hal ini sebagaimana kisah yang diungkapkan oleh Abu Hurairah sendiri seraya Abu Hurairah berkata, “Wahai Rasulullah, aku mendengar hadis yang banyak daripada-Mu, tetapi aku sering lupa, Rasulullah SAW berkata, “Hamparkanlah selendangmu. Lalu aku menghamparkannya, lalu Rasulullah SAW memegang dengan kedua tangannya dan baginda SAW. bersabda, “Ikatlah”. Lalu aku mengikatnya. Sejak itu aku tidak pernah lupa. (riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab Hifz al-Ilm, hadis 119].

Ketekunan Abu Hurairah dalam menerima, mendengar dan mempelajari hadis daripada baginda SAW terbukti apabila beliau merupakan perawi pertama yang menanyakan hadis gerangan yang paling bahagia kerana mendapat syafaat daripada baginda pada hari kiamat.

Kewibawaan beliau sebagai seorang perawi hadis telah diakui oleh baginda, para sahabat dan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Beliau turut dikenali sebagai salah seorang ahli suffah yang tinggal di wakaf masjid. Sifat amanah dan takwa yang dimiliki oleh beliau menjadi kebanggaan baginda sehingga baginda SAW melantik beliau sebagai pengagih makanan untuk ahli suffah iaitu golongan fuqara’ muhajirin yang tiada tempat tinggal.

Abu Hurairah menghembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M) dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau telah mewafatkan warisan yang amat berharga kepada umat Islam dan merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW iaitu 5,374.

Tuesday, August 4, 2009

Lawatan Muhibbah Darul Hadith, Masjid Assyafaah, Singapura ke INHAD

Oleh : Afifah Abas & Norlaili Mohamad Rahman
Tarikh: 23 Julai 2009 (Khamis)
Tempat: Dewan Senat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor KUIS).
Objektif Lawatan:
1. Menghubungkan silaturrahim antara Darul Hadith dan INHAD sebagai dua institusi yang aktif menyumbang Pendidikan Hadis di kedua-dua negara.
2. Bertukar-tukar pengalaman dan informasi berhubung pelaksanaan program-program hadis di kedua-dua negara.
3. Mengadakan kerjasama antara kedua-dua belah pihak dalam melaksanakan program-program berkaitan dengan hadis pada masa akan datang.



Lawatan yang diketuai oleh Ustaz Haji Mohd Ali b. Haji Atan itu tiba dari Singapura pada jam 11.30 pagi dengan menaiki bas yang membawa seramai 20 orang delegasi. Pertemuan buat pertama kalinya antara Darul Hadith dan INHAD itu disambut dengan penuh mesra oleh Ustaz Hj Mohd Farid Ravi b. Abdullah selaku Pengarah INHAD. Delegasi ini turut disambut oleh Timbalan Rektor (Pembangunan Korporat & Pembangunan) Tuan Hj Mohd Shah b. Abdullah.



Sesi taaruf dimulakan dengan kata-kata aluan dari Tuan Hj Mohd Shah mewakili Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) mengalu-alukan kedatangan Darul Hadith ke INHAD diikuti dengan ucapan aluan beserta pengenalan tentang latar belakang INHAD oleh Pengarah, Ustaz Hj Mohd Farid Ravi. Majlis kemudiannya bertukar tangan dengan pengenalan Darul Hadith, Masjid Assyafaah oleh Ustaz Haji Mohd Ali merangkap Pengerusi Eksekutif Masjid Assyafaah. Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat dan pandangan dalam mengurus dan mengembangkan institusi masing-masing.



Pihak Darul Hadith menyuarakan cadangan ingin mengadakan program kerjasama dengan INHAD pada masa akan datang. Apa yang diharapkan dari pihak INHAD terhadap lawatan Muhibbah seperti ini ialah ianya dapat dijadikan satu platform untuk merealisasikan “Model Kerjasama” INHAD dengan institusi-institusi Hadis lain di dunia sebagai salah satu wadah menyatukan organisasi-organisasi seumpama ini di bawah satu payung agar dapat bersatu melakukan anjakan paradigma terhadap status Hadis di mata umat Islam sedunia khasnya dan seluruh umat manusia amnya. Apa yang lebih utama ialah kesedaran dan keterbukaan kesatuan ini untuk berkongsi manfaat yang terkandung di dalam khazanah Hadis untuk kelangsungan hidup yang sejahtera bukan sahaja kepada umat Islam bahkan meluaskannya kepada seluruh manusia kerana Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam.



Kedua-dua organisasi juga berpeluang bertukar-tukar cenderahati dan mengadakan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan. Kemudian majlis diakhiri dengan majlis makan tengahari beramai-ramai sambil beramah-mesra sebelum delegasi dibawa melawat pejabat INHAD di bangunan Fakulti Kejururawatan dan Kesihatan Sekutu. Semoga hubungan silaturrahim yang terjalin ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T. dalam memperjuang dan mempertahankan Sunnah Rasulullah s.a.w. Insya Allah. Amin…

Wednesday, July 22, 2009

KUNJUNGAN MUHIBBAH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR KE INHAD


Kunjungan LZS Mais ke INHAD disambut oleh Ust. Mohd Farid Ravi Abdullah.

Bangi – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melalui Bahagian Majikan Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS mengadakan kunjungan muhibah ke Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) baru-baru ini.

Program yang dinamakan Jejak Ilmuan siri pertama 2009 ini, memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan dengan golongan akademik terutama dalam memberi idea memastikan perlaksanaan kutipan dan agihan di LZS dapat dijalankan dengan lebih lancar

Tuesday, July 21, 2009

MEMBUMIKAN AL-QURAN =)

Oleh : Ustaz Hj. Mohd Farid Ravi b. Abdullah (Pengarah INHAD)



Hayati al-Quran Nikmati Keberkatannya

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar dan utama yang diturunkan oleh Allah kepada nabi kita Muhammad s.a.w. Ia merupakan petunjuk yang paling baik untuk umat manusia sehingga hari qiamat dalam mencari keridhaan Allah seterusnya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Di antara kelebihan membaca serta menghayati segala isi al-Quran dapat dilihat melalui beberapa petikan hadis nabi s.a.w sebagai pedoman kepada kita semua.
1. Sabda nabi s.a.w yang yang bermaksud: Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya
- muttafaqqun ‘alaihi

2. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya(pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa alif laam miim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf
- diriwayat oleh Tarmizi dan ia merupakan hadis hasan sohih

3.Sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Orang yang membaca al-quran dan dia mahir dengannya bersama malaikat yang mulia dan orang yang taat. Sesiapa yang membaca al-Quran sedangkan dia tersekat-sekat padanya dan dia begitu susah atasnya maka baginya 2 pahala (pahala membaca dan pahala kesusahan).
- Sohih Bukhari dan muslim

4.Abi Umamah al-Bahili telah berkata bahawa dia mendengar sabda nabi s.a.w yang bermaksud: Kamu hendaklah membaca al-Quran maka sesungguhnya ia akan datang pada hari qiamat sebagai syafaat bagi ahli-ahlinya
- Riwayat Muslim

5. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran(tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang
- Riwayat Tarmizi

6. Dalam satu hadis Qudsi di mana sabda nabi s.a.w yang bermaksud: Allah telah berfirman yang bermaksud : Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiKu daripada meminta-minta kepadaKu maka Aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaKu itu. Dan kelebihan Kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas segala makhlukNya
- Riwayat Tarmizi dan hadis hasan sohih

7. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Tiada suatu kaum yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitab Allah (al-Quran) dan tadarrus antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka pada sesiapa di sisinya
- Riwayat Muslim

8. Daripada Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir telah berkata yang bermaksud: Telah keluar Rasulullah s.a.w menemui kami di Suffah maka sabdanya : Siapakah di kalangan kamu yang suka keluar ke Buthan dan ‘Aqiq (nama 2 tempat di Madinah) di mana dia akan membawa pulang darinya 2 ekor unta yang sihat lagi gemuk tanpa berbuat dosa dan tidak pula memutuskan tali persaudaraan ? Maka kami menjawab : Wahai Rasulullah! Kami semua menyukai perkara itu. Sabdanya : Mengapakah seseorang daripadamu tidak keluar ke masjid untuk belajar atau membaca 2 ayat daripada kitab Allah (al-Quran) maka ia lebih baik daripada 2 ekor unta yang gemuk, tiga ekor, empat ekor di mana lebih baik baginya daripada empat dan daripada semua bilangan unta.
- Riwayat Muslim

Pesanan Rasulullah saw =)



p/s Sila tekan pada paparan untuk lebih besar

Wednesday, July 8, 2009

Keutamaan Membaca Al-Quran



p/s sila tekan pada paparan jika ingin besarkan

Wednesday, July 1, 2009

Mari berkenalan dengan al-Hafiz al-Muhaddits Imam al-Bukhari



Kompleks Maqam imam al-Bukhari di Bukhara, Uzbekistan

Imam al-Bukhari adalah nama panggilan popular kepada Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah atau Bazdizbah al-Ju’fi Al-Bukhari. Al-Bukhari sebenarnya nama nisbah dalam budaya Arab yang menasabkan beliau kepada tanah tumpah darahnya iaitu Bukhara.

Manakala Al-Ju’fi pula nama keluarga beliau setelah moyangnya al-Mughirah memeluk Islam di tangan al-Yaman al-Ju’fi al-Bukhari iaitu seorang pemerintah Bukhara pada zaman itu, lalu, wujudlah hubungan wala’ di antara mereka. Pada kebiasaan budaya Arab dan menurut satu aliran mazhab ketika itu, orang yang diislamkan itu akan dinasabkan kepada keturunan maulanya iaitu orang yang mengislamkannya. al-Yaman al-Bukhari ini adalah moyang kepada Abdullah bin Muhammad al-Ju’fi al-Musnadi – salah seorang daripada guru-guru al-Bukhari. Mereka adalah dari keturunan Kabilah Ju’fa bin Sa’ad al-‘Ashirah bin Muzhij (Abu Hay) yang berasal daripada negara Yaman.

Sebelum al-Mughirah memeluk Islam, bapa moyang kepada Imam al-Bukhari yang bernama Bardizbah itu adalah seorang Farsi yang menganut agama Majusi dan beliau direkodkan meninggal dunia sebagai seorang Majusi. Nama Bardizbah adalah satu perkataan yang berasal dari bahasa Farsi Bukhara yang bermaksud ‘petani’.

Selain itu, beliau juga mendapat banyak nama julukan dan gelaran lain sepanjang hayatnya terutamanya yang menggambarkan ketokohan beliau setelah aktif dalam pengajian dan pengkajian Hadis seperti:
1. Amirul Mukminin fi al-Hadith (أمير المؤمنين في الحديث)
2. Mahaguru segala guru hadis (أستاذ الأستاذين)
3. Doktor penyakit – penyakit hadis (طبيب الحديث في علله)
4. al-Hafiz (الحافظ)
5. Penghulu bidang Hadis (الإمام في علم الحديث)
6. Penghulu hal – ehwal Hadis (إمام هذا الشأن)
7. Sahib al-Sahih (صاحب الصحيح)
8. Pengarang al-Jami’ al-Sahih dan al-Tarikh (صاحب الجامع الصحيح والتاريخ)
9. ...dan banyak lagi.

Flyers - INHAD (JUN 09)

Monday, June 15, 2009

Shahih Bukhari paling sahih selepas al-Quran al-Karim

Salam, baru-baru ini suratkhabar Utusan Malaysia (MEGA) pada ruangan agama telah menyiarkan berita tentang Seminar Tokoh Hadis al-Imam al-Bukhari yang berlangsung pada 16 Mei yang lalu. Keluaran akhbar bertarikh 26 Mei 2009 hari Selasa bersamaan 1 Jamadilakhir 1430H. Berikut adalah antara keratan akhbar tersebut. Syukran jazilan.



UTUSAN MALAYSIA RUANGAN MEGA (AGAMA) SELASA 26 MEI 2009

Monday, June 8, 2009

Seminar Tokoh Hadis al-Imam al-Bukhari 09



Pada 16 Mei yang lepas pihak Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) telah menganjurkan Seminar Tokoh Hadis al-Imam al-Bukhari yang bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam. Dengan kerjasama dari Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan pihak MSSAAS.



Seminar ini diadakan bertujuan untuk menyoroti perjalanan seorang tokoh hadith yang mashyur dan tinggi ketokohannya iaitu al-Imam al-Bukhari r.a. Seperti yang kita ketahui, Sahih Bukhari merupakan sumber rujukan yang paling sahih selepas kitab al-Quran al-Karim.





Bertemakan "Meniti Kegemilangan Ummah Generasi al-Hadis" menyimpulkan bahawa generasi-generasi masakini perlu koreksi semula khazanah agung yang menyimpan banyak nilai yang tinggi akan pertuturan, perlakuan dan tiqrar Nabi Muhammad S.A.W. Ketokohan al-Imam al-Bukhari terbukti apabila melakukan pelbagai pendetailan dalam menerima dan mengumpulkan hadis-hadis.



Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Dr. Halimah Ali (Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan Selangor). Selain itu, majlis ini diserikan lagi dengan pelancaran buku "Meneladani Rasulullah S.A.W melalui amalan sehari semalam" buku terjemahan hadis keluaran INHAD. Turut hadir pada seminar ini ialah Dato' Mohd Adanan b. Isman (Rektor KUIS), Ustaz Hj. Mohd Farid Ravi Abdullah (Pengarah INHAD dan seminar), Timbalan Mufti Selangor dan lain-lain.


Ustaz Hj. Mohd Farid Ravi Abdullah membentang pembentangannya dengan gaya tersendiri..


Ucaptama pada Seminar kali ini ialah Prof.Madya.Dr. Udah B. Mohsin, pensyarah di Fakulti Pengajian Islam,UKM. Beliau mengulas tentang al-Imam al-Bukhari dan ketokohannya. Seramai 6 orang pembentang membentangkan kertas kerja mereka pada seminar ini.

Ucaptama :

Prof.Madya.Dr. Udah B. Mohsin (UKM)

Pembentang Seminar Tokoh Hadis al-Imam al-Bukhari :
1. Ustaz Hj. Mohd Farid Ravi Abdullah (INHAD)
2. Mohd Asmawi b. Muhamad (UM)
3. Ustaz Khafidz b. Soroni (KUIS)
4. Ustazah Nor Hanani bt. Ismail (KUIS)
5. Ustaz Ahmad Sanusi b. Azmi (USIM)
6. Ustaz Zulhilmi b. Mohamed Nor (USIM)

Dengan ini pihak INHAD ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan, jazakumullah khaira jaza' kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
wallahua'lam wassalam =)

Profil Institut Kajian Hadis,Selangor (INHAD)

Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) telah pun mula beroperasi sebagai sebuah Institusi milik kerajaan negeri yang diletakkan di bawah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada April 2008 bertujuan untuk memelihara dan memartabatkan hadis sebagi sumber wahyu kedua selepas kitab suci Al-Quran.

Penubuhan INHAD ini juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya hadis bukan sahaja dengan memeliharanya tetapi mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Idea menubuhkan Institut Kajian Hadis tercetus dari Menteri Besar Selangor yang mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KUIS pada 26 Mac 2007, meminta supaya satu pusat kajian Al-Hadis Negeri Selangor ditubuhkan. Pada 4 Julai 2007 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang ke 21, telah pun meluluskan penubuhan Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD).

INHAD mula beroperasi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor setelah Pengarah INHAD dilantik pada 1 April 2008, dan seterusnya perlantikan Eksekutif pada 16 April 2008.

ALAMAT PEJABAT :

Tel:+603-8925 4251 ext 1119/3394
Fax:+603-8926 6279
Emel:webmaster@inhad.org.my

Hadith Research Institute Selangor (INHAD)
SELANGOR INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY COLLEGE (KUIS),
Bandar Sri Putra, 43600 Bangi, Selangor, MALAYSIA

Kami di sini :

Kami di sini :

Preface INHAD

Praise be to Allah, prayer and peace upon the Messenger of Allah:


Indeed the “Hadith” is one of Allah’s greatest blessings which had been endowed for none other than the followers of Prophet Muhammad alone, although there were more than one hundred and twenty thousand prophets sent to many nations at different times, but there is no evidence that they had recorded their prophets’ sayings or deeds or vivid detailed recordings of their ongoing life at that time. Obviously, Allah had not Destined the same for them. He kept the Best for the
Last Prophet Muhammad bin Abdullah s.a.w., and also He had promised to protect them as ordained in the Holy Qur’an:


We have, without doubt, sent down the Message; and We will assuredly guard it (from corruption).

(al-Hijr: 9)


So, the Hadith was well preserved over the centuries, despite many attempts by the enemies of Islam to insert things into it, distort or innovate it as their wicked hearts desired. But Allah had Promised to preserve it the way it is until the Day of Resurrection, thus, it is protected from their conspiracies against it. And Allah had Destined that there would always be some highly capable men obliged to defend the Prophetic Tradition in every era, in every place, with whatever means. These men would not mind to sacrifice their lives and their souls in his service. They meticulously studied every aspect of his Hadith, created out from it organized sciences, and founded the principles and methods for those sciences. Even history had undeniably witnessed how this contribution had incomparably served the East at large as well as the West like no other science ever existed in the history of mankind.

But it’s the fate of our country (Malaysia) that Hadith is not that much concerned except very little. There are many justifications to this regretted paucity but it does not do justice to mention it all here. Yet, the most important point is the fact that her religious scholars, past and present, had engrossed more over Islamic Jurisprudence (Fiqh) than any other Islamic Sciences. Consequently, it is sensed that there is a bit distance between them and the Hadith Sciences either in teaching or learning processes (compared to in the Middle East); even in producing reading materials on it. Accordingly, the laymen of the society are also affected by this little exposure of Hadith, whereby it keeps them from internalizing the real value of Hadith especially in jurisdiction and legislation as well as the importance of applying it in their lifestyle.

Therefore, it is very crucial to infuse the sense of belongingness to and awareness of the Hadith among the Malaysian Muslims, and furthermore to disseminate and expose more about the Sciences of Hadith to them. Thus, Allah had Granted diligent individuals who are enthusiastic towards defending the Hadith to bring about the establishment of this institute. It is indeed was founded on a noble cause to attain significant objectives ahead. So, we hope to serve the Hadith in this country as mentioned in details in this Profile of the Institute.


We request Allah who is the All-Hearing, the Responsive, and the Omnipotent over all things to help us to serve The Hadith of Prophet Muhammad - peace be upon him – to achieve all the goals that we have set for this Institute, Insha Allah.


Hj Mohd Farid Ravi bin Abdullah

(Director of Selangor Hadith Research Institute [INHAD])

Ceramah "Keluarga Sakinah" oleh Ustaz Muhammad Farid Ravi Abdullah -1430H @ Singapore Expo, Hall 3

Ust Farid Ravi Abdullah - Forum Perdana 1

Ust Farid Ravi Abdullah - Forum Perdana 2

Ust Farid Ravi Abdullah Forum Perdana 3