Kursus Kemahiran Bertarannum Al-Quran
Pegawai Agama Republik Maldives
(6 Julai – 6 Ogos 2009 )
Kursus Kemahiran Bertarannum Al-Quran ini adalah anjuran bersama di antara KUISCELL, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kementerian Hal Ehwal Islam Republik Maldives dengan kerjasama pihak Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD) yang menyediakan fasiliti tempat dan alat-alat Pengajaran dan Pembelajaran (PNP) seperti projektor LCD, televisyen plasma, laptop, dan pembesar suara di perpustakaannya selama lebih kurang sebulan kursus berlangsung (114 jam). Terdapat seramai 25 orang Pegawai Agama dari Republik Maldives; 20 orang lelaki dan 5 orang perempuan menyertai kursus tersebut. Kebanyakan mereka terdiri daripada guru-guru matapelajaran kemahiran membaca al-Qur’an peringkat sekolah rendah di negara mereka.
Kursus Kemahiran Bertarannum ini telah berjalan dengan jayanya seperti yang telah direncanakan oleh pihak KUISCELL berdasarkan silabus dan modul-modul yang telah ditetapkan berobjektifkan pendedahan kepada 7 jenis bacaan tarannum yang biasa diajarkan di Malaysia iaitu Bayati, Husayni, Nahwand, Hijaz, Saba, Rast, dan Jaharkah. Kursus dimulakan dengan aspek sejarah ilmu tarannum. Mereka juga diperkenalkan dengan ilmu suara (fonologi) seperti sifat-sifat suara, tabaqat atau tahap-tahap suara: suara dada, kerongkong, hidung, dan otak; dan peranan suara. Namun peserta juga perlu mengetahui istilah-istilah ilmu tarannum seperti harakat, mahthah, qit’ah dan burdah bagi melicinkan proses pembelajaran ini. Apa yang lebih penting ialah penguasaan ilmu tajwid yang baik untuk menyempurnakan bacaaan al-Qur’an al-Karim.
Seramai 6 orang tenaga pengajar terlibat memahirkan delegasi ini membaca al-Qur’an terutamanya dari segi tarannum; mereka ialah:
1) Ustaz Mohd Radhi Mohd Rejab (Tarannum)
2) Professor Madya Dr. Mohd. Nur Manutty (Tafsir al-Qur’an)
3) Ustaz Mohd Farid Ravi b. Abdullah aka Pengarah INHAD (Ulum al-Qur’an)
4) Ustaz Mohd Ikmal Zaidi (Tarannum)
5) Ustaz Imran Kamal Basha (Tajwid)
6) Ustaz Syuhada’ (Guru Ganti)
Di samping serius berkursus, mereka juga berpeluang menikmati aktiviti-aktiviti santai pada hujung minggu atau waktu malam seperti mengikuti lawatan ke Putrajaya, Nilai 3, Muzium Seni Islam dan Menara Berkembar KLCC. Makanan juga disediakan 4 kali sehari oleh pihak penganjur. Mereka kemudiannya diraikan dalam satu majlis makan malam di KUIS bersama barisan pentadbir. Sebelum kursus berakhir, penilaian terhadap pencapaian mereka dilakukan untuk melayakkan mereka mendapat sijil kursus. Majoriti peserta menyatakan rasa seronok mereka mempelajari kemahiran bertarannum ini. Mereka juga menunjukkan minat yang mendalam dan tekun berlatih memahirkan diri. Diharapkan semoga lebih banyak lagi program-program seumpama ini akan diadakan untuk manfaat bersama umat Islam sama ada untuk orang-orang tempatan atau dari luar negara.
KETUA DELEGASI DARI MALDIVES MEMPERDENGARKAN BACAAN AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN PADA MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL KURSUS KEMAHIRAN TARANNUM AL-QURAN.
PARA PESERTA BERGAMBAR BERSAMA-SAMA DENGAN PARA PENGAJAR KURSUS KEMAHIRAN TARANNUM AL-QURAN.
BARAKALLAHU FIKUM ILAL LIQA'=)